Posted by: ulumuda | August 11, 2008

Kedah tetap mahu tebang balak(UM-23 Jun 08)

ALOR STAR 22 Jun – Kerajaan Kedah tetap mahu menebang balak di kawasan tadahan air negeri ini meskipun pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminta cadangan itu dikaji semula.

Menteri Besarnya, Azizan Abdul Razak bagaimanapun memberi jaminan pembalakan di kawasan tersebut tidak akan menjejaskan alam sekitar dan bekalan air untuk kegunaan pertanian.

Katanya penuaian, balak akan dijalankan secara teratur dan sistematik seperti ‘mencabut uban di celah-celah rambut’ iaitu hanya pokok tua yang akan ditebang, melibatkan tiga hingga empat batang bagi setiap hektar.

“Mungkin sesetengah orang akan menganggap kita mahu menggondol hutan tetapi kita tidak akan buat macam itu. Kalau kita tebang, kita akan pastikan bahawa alam sekitar tidak terjejas,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Ceramah Perdana Sempena Enam Tahun Pemergian Allahyarham Datuk Fadzil Noor di Muassasah Darul Aman, Batu 14, Pokok Sena dekat sini malam tadi.

Turut memberi ceramah ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Rabu lalu, Azizan mengumumkan cadangan menebang balak di kawasan tadahan air di negeri ini jika Kerajaan Pusat enggan membayar pampasan untuk khidmat alam sekitar (PES) berjumlah RM100 juta setahun bagi menjana ekonomi negeri.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan banyak pihak kerana menganggap ia akan merosakkan alam sekitar dan menjejaskan sumber bekalan air untuk jangka masa panjang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut dilaporkan meminta Kedah mengkaji semula aktiviti membalak di kawasan terbabit kerana bimbang akan menjejaskan bekalan air ke negeri tersebut.

Mengulas kebimbangan pelbagai pihak itu, Azizan menegaskan, Kedah akan memperhalusi kaedah penebangan terbaik dengan merujuk kepada kepakaran dan teknologi terkini yang dapat memastikan alam sekitar tidak akan terjejas.

Antara kaedah yang sedang dipertimbangkan, menurut beliau, ialah pembalakan menggunakan helikopter yang dipercayai dapat mengekal dan meningkatkan pembangunan pengurusan hutan lebih berkesan untuk tempoh jangka masa panjang.

Kata beliau, bagi tujuan itu, perbincangan secara mendalam akan diadakan dengan sebuah syarikat dari Sarawak dalam tempoh terdekat ini.

Dalam pada itu, Azizan beranggapan cadangan pembalakan di hutan simpan melibatkan keluasan keseluruhan kira-kira 122,000 hektar itu sebagai strategi serampang dua mata iaitu untuk menjana ekonomi negeri dan menjaga alam sekitar.

Ini kerana katanya, selain memperoleh pendapatan, pokok-pokok balak yang sudah tua jika tidak ditebang akan tumbang dan merosakkan anak-anak pokok yang sedang membesar.

“Pokok balak pun berusia juga, lama-lama akan buruk di dalam. Kalau tidak tebang lama-lama akan tumbang menimpa pokok-pokok kecil. Bila kita tebang, pokok-pokok lain akan naik balik. Dalam tempoh 20 atau 30 tahun, akan banyak balik hutan kita. Hasil kita dapat, hutan pun kita jaga,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: