Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my
Laporan bercanggah dengan cadangan membalak di Hutan Simpan Ulu Muda
ALOR STAR: Gabungan 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menamakan diri mereka Sahabat Ulu Muda II, mendesak kerajaan negeri menjelaskan status Laporan Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA) 2003 yang menolak cadangan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda sebelum ini.
Gabungan itu mendakwa laporan DEIA berkenaan diguna pakai sehingga hari ini dan sekali gus bercanggah dengan cadangan kerajaan Pas Kedah yang mahu membalak di kawasan tadahan di situ.
Penyelaras Sekretariat Ulu Muda II, Nizam Mashar, berkata DEIA itu yang dikeluarkan pada Mac 2003 menolak cadangan kerajaan negeri membalak menggunakan helikopter di kawasan terbabit.
DEIA ialah kombinasi laporan EIA dan maklum balas pihak berkaitan dengan sesuatu projek.
Ia menyebabkan Kerajaan Pusat mengarahkan kawasan itu diwartakan sebagai kawasan tadahan air.
Katanya, mengikut laporan itu, dianggarkan empat juta pokok akan ditebang dan laluan balak sejauh 404 kilometer (Km) akan diwujudkan yang boleh merosakkan alam sekitar.
“Cadangan pembalakan menggunakan helikopter di Kawasan Hutan Simpan Ulu Muda pernah diusulkan oleh kerajaan negeri pada 2002 tetapi ditolak Kerajaan Pusat dengan DEIA itu,” katanya di sini semalam.
Recent Comments